Selasa, 31 Disember 2013
Cerita Rakyat - Si Tanggang Derhaka
NAKHODA TANGGANG
Si Talang dan isterinya Si Daruma tinggal di sebuah kampung yang terpencil. Kehidupan mereka sangat miskin. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Si Tanggang suka berburu dan mendayung sampan.
Pada suatu hari, dia mendayung sampan menyusuri sungai sehingga sampai ke muara. Di muara sungai , terdapat sebuah kapal sedang berlabuh. Nakhoda kapal itu tertarik hati apabila melihat kecekapan Si Tanggang mendayung sampan lalu mengarahkan orang suruhannya menangkap Si Tanggang. Akhirnya, Si Tanggang ditangkap dan telah dibawa belayar.
Semasa dalam pelayaran, Si Tanggang melakukan semua kerja di atas kapal itu. Kerajinannya telah menambat hati nakhoda lalu mengambilnya sebagai anak angkat. Akhirnya, nakhoda telah mengahwinkan Si Tanggang dengang anaknya. Kemudian Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda yang baru dan digelar Nakhoda Tanggang.
Pada suatu petang, setelah jauh belayar, Nakhoda Tanggang telah mengarahkan anak kapalnya berlabuh di muara sungai. Kebetulan pula tempat kapal berlabuh ialah kampung asal Nakhoda Tanggang. Beberapa orang penduduk kampung ternampak Nakhoda Tanggang lalu memberitahu ibunya. Ibunya segera datang untuk menemui Nakhoda Tanggang kerana dia terlalu merindui anaknya itu.
Namun begitu, Nakhoda Tanggang berasa malu untuk mengaku bahawa perempuan tua itu ibunya. ini kerana keadaan ibunya yang miskin dan uzur. Nakhoda Tanggang telah menghalau ibunya. Ibunya, Si Deruma berasa sangat sedih dan pilu kerana Si Tanggang anak yang dilahirkan dan disusuinya telah melukakan hatinya.
Dia memandang ke langit sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dan berseru,"Oh,Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungannya." Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup dengan kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing dipukul ribut. Keadaan pada masa itu sungguh cemas.
Ketika itu barulah Nakhoda Tanggang berasa sangat kesal. Dia insaf bahawa Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. " Oh ,Ibu! Ampunkanlah anakanda ....," teriak Nakhoda Tanggang, tetapi sudah terlambat. Gelombang yang kuat telah memecahkan kapalnya. Setelah ribut reda, kapal yang pecah dan anak-anak kapal termasuk Si Tanggang telah bertukar menjadi batu.
Pengajaran, Itulah balasan kepada anak yang derhaka
Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng
Labels:
Sivik Dan Kewarganegaraan,
Tingkatan1
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Silakanlah komen, tetapi hendaklah menjaga etika. Ilmu untuk manfaat semua