Blog ini sesuai dipamer dalam chrome browser dan paparan lanskap

Selasa, 31 Disember 2013

Koleksi Cerita Rakyat dan Kisah Dongeng


Sempena tahun ini Chegu mengajar sivik dan kewarganegaraan, ada bab yang akan dirujuk pelajar untuk menyelesaikan tugasan mencari maklumat di pusat sumber ataupun internet

Chegu memudahkan pelajar supaya tidak payah mencari maklumat berkenaan cerita rakyat ini

Klik Untuk Cerita Rakyat Pilihan Anda

  1. Beruk tunggal
  2. Bunga cengkih
  3. Si tanggang derhaka
  4. Kura-kura dengan raja ungka
  5. Ahli sihir yang angkuh
  6. Burung layang-layang yang suka meniru
  7. Sang kancil dengan monyet
  8. Singa dengan tikus
  9. Burung murai dengan burung merbah


Cerita Rakyat - Beruk Tunggal


Kononnya, ada sebuah istana terletak di tebing sebatang sungai. Rajanya mempunyai tujuh orang puteri. Baginda amat sayang kepada Puteri Bongsu.

Di tebing sebelah istana ada sebuah pondok buruk. Penghuninya seorang perempuan setengah umur. Kerjanya bertani. Perempuan itu sangat inginkan seorang anak.

Pada suatu hari, dia minum air di sebuah tempurung. Selepas itu dia mengandung lalu melahirkan seekor beruk. Ia dinamakan Beruk Tunggal.

Setelah besar, Beruk Tunggal menolong ibunya bertani. Tahun itu padi menjadi tetapi diserang tikus. Beruk Tunggal menangkap semua tikus yang menyerang padinya. Kemudian dia mencari Raja Tikus.

Apabila bertemu, Raja Tikus itu diberi amaran. Raja Tikus ketakutan kerana ia tahu Beruk Tunggal jelmaan seorang anak raja kayangan. “Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan tuanku,” kata Raja Tikus. “Padi aku sudah habis. Apakah tindakan kamu?” Tanya Beruk Tunggal. “Hamba akan suruh rakyat hamba mengumpulkan butir emas,” kata Raja Tikus. “Baiklah, aku terima pemberian itu!” kata Beruk Tunggal.

Kemudian, segala tikus itu datang membawa butir emas. Banyaklah emas di pondok Beruk Tunggal. Beruk Tunggal meminta emaknya meminang puteri raja. Emaknya pun pergi ke istana. Raja terkejut mendengar permohonan perempuan itu. Namun raja menyampaikan juga permohonan itu kepada ketujuh-tujuh orang puterinya. “Kahwin dengan beruk?” Tanya Puteri Sulung. Puteri yang lain turut hairan. Hanya Puteri Bongsu yang bersopan-santun sahaja yang sanggup menjadi isteri Beruk Tunggal.

Raja dan permaisuri kasihan kepada Puteri Bongsu. Baginda meminta hantaran sebentuk cincin berlian. Pada fikiran raja, tentulah perempuan miskin itu tidak berdaya menyediakannya. Beruk Tunggal memohon kepada ayahandanya, Raja Kayangan.

Pada malam itu, ayahanda Beruk Tunggal menghantar secupak cincin berlian. Emak Beruk Tunggal pun mempersembahkan cincin berlian yang secupak itu ke istana. Dia meminta baginda memilih sebentuk cincin yang sesuai. Raja tidak dapat mengelak. Puteri Bongsu pun dikahwinkan dengan Beruk Tunggal. Selepas itu baginda tidak mahu mereka tinggal di istana.

Puteri Bongsu mengikut Beruk Tunggal tinggal dipondoknya. Pada malam pertama, Puteri Bongsu menemui sarung beruk. Esoknya, Beruk Tunggal tidak bersarung lagi. Dia bertukar menjadi seorang pemuda yang kacak. “Kekanda sebenarnya putera Raja Kayangan. Bakarlah sarung beruk itu. Taburkan sedikit debunya di luar pondok. Pintalah sesuka hati adinda,” kata putera Raja Kayangan. Puteri Bongsu mengikut suruhan putera raja itu. Sebentar itu juga pondoknya bertukar menjadi istana, lengkap dengan taman yang indah.

Pengajaran : 1. Jangan mencuri hak orang lain. 2. Jangan memandang hina kepada orang miskin.

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

Cerita Rakyat - Bunga Cengkih


Kononnya, disebuah negeri, raja dan sekalian rakyatnya malu untuk bercakap kerana mulut mereka tetap berbau busuk.

“Apakah wabak yang menyerang negeri ini?” tanya raja. Apabila raja dihadap oleh pembesar dan rakyatnya, semuanya diam membisu. Mereka takut hendak bercakap kerana mulut mereka berbau busuk.

Pada suatu hari, di dalam taman larangan, puteri raja bersama dayang-dayangnya keluar bermain-main. Mereka juga diam tidak bercakap. Mulut mereka semuanya berbau busuk.

Tiba-tiba seekor burung murai terbang dan hinggap di sepohon bunga. Murai itu berkicau dengan rancak. Ia seolah-olah sedang bercakap dengan tuan puteri. Puteri raja tetap membisu. Murai itu berkicau lagi dan mematuk-matuk bunga yang ada di dahan tempat ia berpijak.

Akhirnya puteri raja pergi ke pokok bunga itu. Bunga kecil itu diambil dan dimakannya. Selang beberapa hari dia berbuat begitu, akhirnya bau busuk di mulutnya hilang. Mulutnya berbau wangi pula.

Sejak hari itu, puteri raja seorang sahajalah yang tidak malu bercakap-cakap. Raja pun bertanya akan rahsia puteri baginda itu. Perihal pokok bunga itu pun diceritakan oleh puteri baginda.

Sejak itu, baginda memerintahkan rakyatnya menanam dan memakan bunga pokok itu. Sejak itulah juga penyakit mulut berbau itu hilang.

Semua rakyat terlalu gembira. Mereka boleh berkata-kata dan tidaklah diam lagi. Raja memerintahkan rakyat menanam pokok itu. Akhirnya bunga itu menjadi hasil negeri. Bunga itu dikenali dengan nama bunga cengkih.

Pengajaran : 1. Jangan takut mencuba perkara baru. 2. Fikir selalu keajaiban ciptaan tuhan.

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

Cerita Rakyat - Si Tanggang Derhaka


NAKHODA TANGGANG

Si Talang dan isterinya Si Daruma tinggal di sebuah kampung yang terpencil. Kehidupan mereka sangat miskin. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang. Si Tanggang suka berburu dan mendayung sampan.

Pada suatu hari, dia mendayung sampan menyusuri sungai sehingga sampai ke muara. Di muara sungai , terdapat sebuah kapal sedang berlabuh. Nakhoda kapal itu tertarik hati apabila melihat kecekapan Si Tanggang mendayung sampan lalu mengarahkan orang suruhannya menangkap Si Tanggang. Akhirnya, Si Tanggang ditangkap dan telah dibawa belayar.

Semasa dalam pelayaran, Si Tanggang melakukan semua kerja di atas kapal itu. Kerajinannya telah menambat hati nakhoda lalu mengambilnya sebagai anak angkat. Akhirnya, nakhoda telah mengahwinkan Si Tanggang dengang anaknya. Kemudian Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda yang baru dan digelar Nakhoda Tanggang.

Pada suatu petang, setelah jauh belayar, Nakhoda Tanggang telah mengarahkan anak kapalnya berlabuh di muara sungai. Kebetulan pula tempat kapal berlabuh ialah kampung asal Nakhoda Tanggang. Beberapa orang penduduk kampung ternampak Nakhoda Tanggang lalu memberitahu ibunya. Ibunya segera datang untuk menemui Nakhoda Tanggang kerana dia terlalu merindui anaknya itu.

Namun begitu, Nakhoda Tanggang berasa malu untuk mengaku bahawa perempuan tua itu ibunya. ini kerana keadaan ibunya yang miskin dan uzur. Nakhoda Tanggang telah menghalau ibunya. Ibunya, Si Deruma berasa sangat sedih dan pilu kerana Si Tanggang anak yang dilahirkan dan disusuinya telah melukakan hatinya.

Dia memandang ke langit sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dan berseru,"Oh,Tuhan! Tunjukkanlah kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungannya." Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup dengan kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu terumbang-ambing dipukul ribut. Keadaan pada masa itu sungguh cemas.

Ketika itu barulah Nakhoda Tanggang berasa sangat kesal. Dia insaf bahawa Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. " Oh ,Ibu! Ampunkanlah anakanda ....," teriak Nakhoda Tanggang, tetapi sudah terlambat. Gelombang yang kuat telah memecahkan kapalnya. Setelah ribut reda, kapal yang pecah dan anak-anak kapal termasuk Si Tanggang telah bertukar menjadi batu.

Pengajaran, Itulah balasan kepada anak yang derhaka

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

Cerita Rakyat - Kura-Kura dengan Raja Ungka


Pada zaman dahulu, di Pulau Borneo tinggal seekor kura-kura bujang yang yatim piatu. Dia berkawan dengan seekor kera yang nakal dan tidak bertimbang rasa.

Apabila Si Kera tersebut mati, Si Kura-kura mengambil seruas tulang kera itu dan meminta Dewa Bubuk membuat seruling untuknya. Si Kura-kura menjadikan seruling tersebut mainannya. Seruling itu dibawanya ke mana-mana sahaja dan ditiup semasa dia kesepian.

Kemerduan tiupan seruling Si Kura-kura itu telah sampai ke pendengaran Raja Ungka. Raja Ungka berkeinginan untuk memiliki seruling itu. Dia melakukan pelbagai cara untuk memperdayakan Si Kura-kura.

Setelah berjaya memperdayakan Si Kura-kura, Raja Ungka dapat merampas seruling tersebut dan terus membawa seruling itu naik ke mahligainya , iaitu di kemuncak pokok Tapang Udang.

Bagi Si Kura-kura. perbuatan Raja Ungka itu amat melampau. Dia sedaya upaya berusaha untuk merampas kembali seruling kesayangannya itu. Si Kura-kura mendapatkan pertolongan daripada Ketam Gergasi.

Dalam usaha merampas seruling tersebut, Raja Ungka mengalami kecederaan yang parah kerana disepit oleh Si Ketam Gergasi. Raja Ungka yang parah telah menggunakan perkhidmatan beberapa orang bomoh untuk merawatnya.

Akhirnya , kecederaan itu membawa maut kepada Raja Ungka. Itulah akibatnya yang diterima oleh Raja Ungka disebabkan sifat tamak haloba

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

Cerita Rakyat - Ahli Sihir Yang Angkuh


Thenaliraman tinggal di sebuah pekan di India. Pada suatu hari, datang seorang ahli sihir termasyhur di pekan itu lalu mencabar penduduk di pekan itu. " Wahai penduduk kampung, saya seorang ahli sihir terkemuka di India. Adakah sesiapa antara anda yang berani mencabar saya? Saya boleh melakukan atau menunaikan apa-apa sahaja yang anda pohon."

Thenaliraman pun tampil ke hadapan dan berkata, " Wahai Tukang Sihir, saya ingin mencabar anda. Bolehkah Tukang Sihir menunaikan permintaan saya?" "Boleh, mintalah apa-apa sahaja, akan saya kabulkan permintaan anda," kata Tukang Sihir.

"Baiklah Tukang Sihir, saya akan melakukan sesuatu dengan mata saya tertutup, tetapi Tukang Sihir melakukannya dengan mata yang terbuka," kata Thenaliraman.

"Ha! Ha! Ha! Mudahnya permintaan anda," kata Tukang Sihir. Thenaliraman pun duduk bersila dan menutup matanya. Dengan menggunakan tangan kanannya, dia mengambil segenggam pasir dan melemparkan ke arah matanya.

" Baiklah Tukang Sihir, sekarang tunjukkanlah kehandalan Tukang Sihire dengan melakukan seperti yang saya lakukan tadi dengan mata yang terbuka," kata Thenaliraman. Tukang Sihir itu terdiam, Dia tahu bahawa dia tidak boleh melakukan seperti yang diminta. Tukang Sihir itu sedar akan kesalahannya yang terlalu bersikap angkuh. Dia meminta maaf kepada Thenaliraman dan terus meninggalkan pekan itu

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

Cerita Rakyat - Burung Layang-Layang



Dalam sebuah hutan yang tebal, tinggal seekor burung layang-layang yang suka meniru.

Pada suatu petang, burung layang-layang telah mendengar suara teriakan daripada burung-burung yang lain. "Ke tepi! Ke tepi! beri laluan kepada raja Burung. " Burung layang-layang berasa hairan mendengar teriakan tersebut. Tidak lama kemudian, beberapa ekor burung merak melalui kawasan itu. Burung layang-layang terpegun melihat kecantikan bururng merak.

Maka, timbullah perasaan pada burung layang-layang yang ingin menjadi seperti burung merak. burung layang-layang menoleh ke kiri dan ke kanan lalu melihat beberapa helai bulu burung merak tercicir di atas tanah. Apabila kumpulan burung merak telah berlalu, burung layang-layang mengutip semua bulu merak yang tercicir di atas tanah dan menyisipkan ke badannya.

Apabila selesai, burung layang-layang berjalan di atas laluan burung merak tadi.Burung-burung lain yang melihatnya berteriak," Ke tepi! Ke tepi! Berikan laluan kepada Raja Burung." Burung layang-layang berasa sangat seronok dan berjalan lebih pantas sehingga terlupa tentang bulu-bulu burung merak yang disisipkan di badannya. Lalu, satu demi satu bulu burung merak tertanggal dan tercicir di atas tanah.

Burung-burung lain yang menyaksikan kejadian tersebut ketawa berdekah-dekah sambil berteriak, " Rupa-rupanya burung layang-layang menyamar menjadi Raja Burung." Burung layang-layang berlalu dari situ sambil menundukkan kepalanya kerana berasa sangat malu. Semasa berjalan dengan kepala bertunduk, burung layang-layang telah terlanggar burung merak.

Apabila burung layang-layang mendongak, dia mendapati burung merak sedang berdiri di hadapannya dengan muka yang bengis. Burung merak berkata, " kami tidak suka kepada burung yang cuba menyamar menjadi burung yang lain. Pergi dari sini!" Burung layang-layang segera terbang meninggalkan kawasan tersebut.

Semasa terbang, burung layang-layang ternampak sekumpulan burung seakan-akan serupa dengan dirinya. Burung layang-layang mendekati burung dalam kumpulan tersebut. Seekor burung dalam kumpulan itu bertanya, "Anda ahli baru dalam kumpulan inikah?" Burung layang-layang pun menjawab, "Ya, saya ahli baru dalam kumpulan ini." Burung layang-layang berasa sangat gembira kerana telah mendapat sahabat baru.

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

Cerita Rakyat - Sang Kancil dengan Monyet


Pada suatu pagi, Sang Kancil pergi mencari makanan. Sang Kancil ternampak sebatang pokok jambu. Sang Kancil terliur hendak makan buah jambu. Di atas pokok jambu itu, tinggal seekor monyet. Sang Kancil lalu meminta pada Sang Monyet, "Wahai Sang Monyet, berikanlah aku sebiji jambu!" Tetapi Sang Monyet enggan memberikan buah jambu kepada Sang Kancil. "Kalau engkau mahu makan, engkau panjatlah sendiri," Sang Monyet berkata dengan sombong. Sang Kancil mendapat suatu akal. Sang Kancil membaling monyet itu dengan sebatang kayu kecil. Apalagi! Marahlah Sang Monyet. Sang Monyet memetik beberapa biji jambu. Sang Monyet segera membaling jambu itu ke arah Sang Kancil. Namun, Sang Kancil pandai mengelak. "Ha! Ha! Ha!" Sang Kancil ketawa. Sang Kancil sangat gembira. "Engkau kena tipu," kata Sang Kancil kepada Sang Monyet. Sang Monyet terdiam apabila mendengar Sang Kancil berkata begitu."Sekarang aku dapat makan buah jambu," ujar Sang Kancil. Sang Kancil segera makan buah jambu itu. "Pandai sungguh Sang Kancil memperdayakan aku," kata Sang Monyet di dalam hatinya. Sang Monyet berasa malu

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

Cerita Rakyat - Singa dan Tikus


Pada suatu hari di sebuah hutan, seekor singa sedang nyenyak tidur. Tidak jauh dari situ, seekor tikus sedang bermain dengan rama-rama. Perbuatan tikus dan rama-rama itu telah mengganggu raja rimba. Singa berasa amat marah dan ingin menyerang tikus. Tikus cuba melarikan diri. Tiba-tiba, tikus berkata, “Jika awak melepaskan saya, saya tidak akan melupakan jasa baik awak hingga ke akhir hayat.” Singa pun bersetuju dan melepaskan tikus itu. Beberapa hari kemudian, singa mengaum sambil meronta-ronta. Singa terkena perangkap pemburu. Tikus datang dan memutuskan jaring dengan giginya. Singa berkata, “Kalau engkau tidak menolong aku, sudah tentu aku dibunuh oleh pemburu.” Sejak hari itu, mereka telah menjadi kawan baik.

Pengajaran dalam cerita ini ialah kita mestilah selalu menepati janji.

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

BURUNG MURAI & BURUNG MERBAH


Pada suatu hari, seekor burung murai telah bertemu dengan seekor burung merbah. Pada ketika itu, Sang Merbah sedang membuat sarangnya. Sambil ketawa, Sang Murai berkata, “ Hai Sang Merbah! Aku sangat kasihan melihat keadaan kamu ini. Setiap masa kamu terpaksa bermandi peluh. Lihatlah aku ini. Hidup bebas terbang ke sana sini.” Sang Merbah lalu berkata, “Tak apalah, wahai Sang Murai. Aku membuat sarang ini sebagai langkah berjaga-jaga. Lagipun, tidak lama lagi musim hujan akan tiba.” Selang beberapa hari, Sang Murai datang lagi ke tempat Sang Merbah. Sang Murai terkejut melihat sebuah sarang yang cantik telah pun siap dibina. Kebetulan pada masa itu hujan turun dengan lebatnya. Sang Murai basah kuyup. Sang Merbah pula selesa berlindung di dalam sarangnya. Lalu Sang Merbah berkata, “ Wahai Sang Murai, kalau kita ringan tulang, tentulah kita akan mendapat faedahnya. Sebaliknya jika kita berat tulang, diri sendiri yang akan rugi.” Sang Murai berasa sangat malu, lalu beredar dari situ.

Pengajaran dalam cerita ini ialah kita tidak boleh memandang rendah kebolehan orang lain.

Lagi koleksi cerita rakyat dan kisah dongeng

Jumaat, 27 Disember 2013

Jangan Makan Harta Anak Yatim - Semua dah tahu tapi kenapa buat?



Dah lama tak menulis, terfikir lah nak cerita pasal harta anak yatim ni. Saja menambah ilmu sebab chegu ni pun kena mengurus harta anak yatim ni.

Jom lihat beberapa dalil berkaitan memakan harta anak yatim...

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا
“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)” (Q.S Annisa: 10)

وَلا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ
“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa” (Q.S Al-An’am : 152, dan Q.S Al-Israa’: 34)

As-Suddiy berkata, ”Orang yang memakan harta anak yatim secara zalim akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dalam keadaan keluar nyala api dari mulut, telinga, hidung, dan matanya. Siapa pun yang meiihatnya pasti mengetahui bahwa ia adalah pemakan harta anak yatim” (Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir (8722))

Para ulama berkata, “Setiap wali anak yatim, jika ia seorang yang miskin lalu ia memakan harta anak yatim itu dengan cara yang baik sesuai dengan tanggungjawabnya, mengurusnya dan mengembangkan hartanya, itu tidak mengapa. Namun jika melebihi dari yang sewajarnya, maka itu adalah harta haram”. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَمَنْ كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ وَمَنْ كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ
“Barangsiapa (di antara pemelihara itu) mampu. maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa miskin, maka bolehlah is makan harta itu dengan cara yang baik” (Q.S. An-Nisa’: 6)

Jadi chegu sendiri pun kena berhati-hati agar harta yang ditinggalkan aruah isteri chegu benar-benar sampai kepada yang berhak, sedangkan hal orang bersedekah khas buat "cahaya mataku" tu pun tak berani chegu sentuh. Chegu simpan baik-baik dan tak mengguna satu sen pun walau nak beli pampers dan susunya. Semuanya akan chegu berikan apabila ia besar nanti.

Sedih mengenang harta insurans yang diurus keluarga aruah, harapan agar ianya sampai kepada yang berhak. Kalau tak dapat pun chegu redha, tunggulah balasannya diakhirat kelak. Chegu yakin, Allah S.W.T. tu maha adil. Rezeki yang ada chegu ada ni pun melimpah ruah, Alhamdulillah

Saja meluah rasa, sekurang-kurangnya rasa terbuku dihati. Mungkin akan memberi manfaat kepada yang merasa nasib seperti chegu.

Selasa, 24 Disember 2013

Sila ambil perhatian! PBSMR tak wujud?

Banyak buah mulut orang yang mengatakan PBSMR bakal menggantikan PMR yang mana hanya beberapa subjek tertentu akan diuji selain hasil kerja pelajar sewaktu pengajaran dan pembelajaran.

Keratan akhbar - jadi ini berita palsu lah?

Ok.. Chegu dapat tahu pula, PBSMR tak ada. Tiada surat pekeliling ataupun arahan Kementerian mengatakan ianya akan dibuat. klik sini untuk sumber
http://www.sinarharian.com.my/nasional/pbsmr-tidak-wujud-hanya-pmr-ditambah-baik-1.233850

Siapalah yang mulutnya becok kata PBSMR ni ada ye. Macam gempar pulak kata takde. Tapi macam ayat pandai-pandai je. Erm, sumber sekarang ni tak jelas, baik jangan buat staement awal-awal. Kita ikut je

Jadi jangan pandai-pandai menyebarkan da'yah yang bukan-bukan. Em Tahun 2014 dah dekat. Sekejap je cuti hujung tahun 2013 berlalu.

Tahun depan (2014) telah diumumkan Johor akan cuti Hari Jumaat, supaya mudah untuk umat islam beribadat, rasanya macam tak kekok sebab waktu chegu belajar dulu, memang hari jumaat dan Sabtu cuti. Tapi.... keraguan kalau aktiviti ko-kurikulum (sukan) dibuat hari sabtu??? Ahad sekolah dah.

Ahh.. abaikan, yang penting heppy.

ShareIt